Bermula pada bulan Ramadhan 1427, satu aktiviti bertadarus Al-Quran dilaksanakan oleh pensyarah ISLB113 (Ustaz Abd. Aziz) dan ISLB123 (Ustaz Adnan). Melihatkan realiti di depan mata yang menyaksikan ramai pelajar Muslim UNITEN yang masih terkapai-kapai terutamanya dalam pembacaan Al-Quran, satu idea telah ditimbulkan oleh Ustaz Adnan untuk menyediakan satu platform supaya pelajar-pelajar yang mengambil ISLB123 lebih diasuh dalam pembacaan Al-Quran iaitu dengan mewajibkan pelajar-pelajarnya membaca Al-Quran di hadapan beliau sendiri.

Oleh kerana keperihatinan Saudara Luqmanulhakim dalam perkara ini, beliau telah bersetuju untuk menubuhkan sebuah kelab hasil cadangan daripada Ustaz Adnan pada akhir semester 2 2006/2007 bertujuan untuk meningkatkan lagi kualiti penghayatan dan pembacaan Al-Quran dikalangan pelajar.

Alhamdulillah, setelah berhempas pulas selama hampir 4 bulan mencari idea dan penggerak, akhirnya telah diputuskan sebuah kelab yang dinamakan Sahabat Al-Quran akan ditubuhkan dibawah Pusat Pengajian Islam dan Peradaban, Pusat Islam UNITEN. Dengan garis panduan yang telah dipersetujui dan ditetapkan, diharapkan agar kelab ini akan menjadi pemangkin bagi membina generasi madani yang berfikrah Islami. Insya Allah, mesyuarat pertama yang akan dihadiri oleh 27 orang penggerak utama kelab akan diadakan pada 30 Julai 2007 bersamaan 15 Rejab 1428 Hijrah dan akan diterajui oleh Saudara Luqmanulhakim.